Jumaat, 27 Ogos 2010

Lailatul Qadr .. Kenapa Malam?

Makna Lailah;

Lailah bermaksud satu malam. Malam dengan keheningan dan ketenangannya membawa rahsia dan makna tersendiri buat mereka yang mengosongkan jiwa untuk memberi tumpuan kasih dan cintanya kepada pencipta.

Inilah rahsianya Allah swt memilih waktu malam untuk masa hambanya bersamanya. Firman Allah dalam surah al Isra' ;

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَكَ عَسَىٰ أَنْ يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَحْمُودًا ﴿79﴾

79. Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat Yang Terpuji.

Allah berfirman juga dalam surah Qaf;

zوَمِنَ اللَّيْلِ فَسَبِّحْهُ وَأَدْبَارَ السُّجُودِ ﴿40﴾

40. Serta bertasbihlah kepadanya pada malam hari dan sesudah mengerjakan sembahyang.

Dalam surah alMuzzammil, Allah swt menjelaskan kenapa dipilihnya malam, bukan siang;

إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْئًا وَأَقْوَمُ قِيلًا ﴿6﴾ إِنَّ لَكَ فِي النَّهَارِ سَبْحًا طَوِيلًا ﴿7﴾ وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلْ إِلَيْهِ تَبْتِيلًا ﴿8﴾ ¨

6. Sebenarnya sembahyang dan Ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.

7. (Kami galakkan Engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana Sesungguhnya Engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan Yang panjang kira bicaranya;

8. Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadanya Dengan sebulat-bulat tumpuan.


Allah swt memuji para solihin dengan firmanNya dalam surah al zariyat;

كَانُوا قَلِيلًا مِنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ﴿17﴾ وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ ﴿18

17. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.

18. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).

Peristiwa al Isra' dan al Mi'raj yang mempertemukan Nabi Muhammad saw dengan Allah swt juga berlaku pada waktu malam.. FirmanNya dalam surah al Isra';

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ﴿1﴾

1. Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

Demikianlah kegelapan malam menjadikannya detik masa yang amat berkesan untuk pertemuan hamba dengan tuhannya dengan meluahkan rasa pengabdian dan membisikkan rasa kecintaan dengan penuh kejujuran dan keikhlasan tanpa diganggu oleh perasaan riya' dan sum'ah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan