" Dibawa kepadaku buraq, lalu aku
menunggangnya sehingga tiba di Baitil Maqdis. Aku menambatnya di lingkaran (
halaqah ) yang sentiasa ditambat di situ
( kenderaan tunggangan ) nabi-nabi as terdahulu. Kemudian aku masuk ke
masjid itu dan sembahyang dua rakaat sebelum aku dibawa ke langit "
( Petikan dari hadith Rasulullah saw dari Anas
bin Malik di dalam Sahih Muslim no:209 ).
Ajaib
sungguh halaqah atau lingkaran Baitil Maqdis yang amat dikenali oleh semua nabi
dan rasul utusan tuhan sebagai tempat tambatan kenderaan tunggangan mereka.
Sempadan masa dan jarak tempat tidak mampu memisahkan kesatuan dan pertemuan
mereka di bumi al Aqsa.
Ibnu
Umar ra pernah berkata: Baitul Maqdis dibina dan dimakmurkan oleh nabi-nabi as.
Tiada sejengkal bumi di situ yang belum menjadi tempat sujud malaikat atau
tempat berdirinya malaikat.
Nu'man
bin Atha' pula menyebut: Tiada suatu tempat pun di Baitil Maqdis yang belum
menjadi tempat sujud para malaikat atau para nabi. Semoga dahimu bersentuhan
dengan dahi malaikat atau nabi.
Kehendak
Allah swt dan pilihannya mentakdirkan Masjid Aqsa menjadi tempat pertemuan,
perhimpunan dan perkumpulan untuk mentaatinya samada melalui ibadat atau jihad.
Maimunah ra menceritakan, aku berkata :
Wahai Rasulullah! Fatwakan kami mengenai
Baitil Maqdis. Baginda saw bersabda: " Bumi perhimpunan dan dan pertemuan.
Berkunjunglah kepadanya dan solat di sana kerana solat di sana seumpama seribu
kali solat di tempat lain. Aku bertanya: Apa kata engkau jika aku tidak mampu
ke sana? Baginda saw bersabda: Engkau hadiahkan untuknya minyak zaitun untuk
diterangi pelita di sana. Sesiapa yang boleh lakukan demikian maka ganjarannya
sama dengan orang yang mengunjunginya.
( Hadith riwayat Abu Dawud no:457 dan Ibn
Majah no: 1407 dengan sanad sahih ).
Demikianlah
Rasulullah saw menamakan Baitul Maqdis sebagai bumi perhimpunan dan pertemuan.
Destinasi yang menemukan nabi-nabi terdahulu dan pejuang-pejuang agama Allah
sehingga akhir zaman. Pertemuan semestinya berlaku di sana. Samada pertemuan
fizikal atau spiritual. Jika tubuh badan tidak boleh sampai ke sana, maka
janganlah sebarang tanda bantuan dan sokongan tidak kunjung tiba. Walupun
minyak zaitun yang boleh digunakan untuk menerangi Masjid Aqsa. Biar ia terang
benderang walaupun tanpa kehadiran kita. Ini kerana musuh umat Islam mahukan
ianya malap kegelapan atau ditutup terus kalaupun tidak runtuh terbenam. Dalam
konteks ini sepatutnya difahami hadith galakan untuk bersungguh menyediakan
persiapan mengunjungi tiga masjid terbesar Islam.
Dari Abu Hurairah ra katanya: Rasululullah saw
bersabda:
" Janganlah bersungguh melakukan
perjalanan jauh melainkan ke tiga masjid; Masjid Haram, Masjid Nabawi dan
Masjid Aqsa. "
( Hadith riwayat al Bukhari Jil2:ms86 dan Muslim
no:1397 ).
Ramai
pembaca hadith ini hanya memberi tumpuan kepada kelebihan dua masjid yang
pertama sahaja. Disangkanya bahawa kelebihan Masjid Aqsa tiada ruang untuk
mengamalkannya di masakini. Maka segala kesungguhan persiapan hanya untuk ke
Mekah atau Madinah melaksanakan haji atau umrah. Mereka lupa bahawa sebenarnya
bekalan lebih besar diperlukan untuk persiapan ke bumi Palestin. Di sana tiada
haji dan umrah, tetapi ada jihad dan murabathah ( pertahankan tanah suci Islam
).
Maka
hadith ini masih segar isi kandungannya. Semoga segala usaha untuk menyampaikan
bantuan ke sana masih lagi lagi dalam lingkungan fadhilat hadith ini. Tidak
sekali-kali terpisah kehebatan dua majid ini, Masjid Aqsa dan Masjid Haram
sejak ia mula dibina sebagai masjid pertama dan ke dua terawal.
Dari Abu Zar: Aku bertanyakan Rasulullah saw,
apakah masjid pertama yang dibina di bumi ini? Baginda saw menjawab: Masjid
Haram. Aku bertanya lagi, kemudian masjid apa? Baginda saw menjawab: Masjid
Aqsa. Aku bertanya: Berapa jarak anatara ke duanya? Baginda saw menjawab : 40
tahun.
( Hadith riwayat al Bukhari Jil.4,ms.177,
Muslim no:520 ).
Ibnu
al-Jawzi dalam karyanya Fadha'il al Quds meriwayatkan satu athar dari Aishah ra
: Mekah adalah negeri agung dimuliakan Allah swt dan ditinggikan kehormatannya
sebelum Allah swt mencipta mana-mana bumi selama seribu tahun. Kemudian dia
menyambungnya dengan bumi Madinah dan dari Madinah pula disambung ke bumi
Baitul Maqdis. Selepas seribu tahun baru Allah swt menjadi bumi ini satu ciptaan.
Demikian
bumi al Quds bersatu dan bersambung dengan tanah haram Mekah dan Madinah sejak
awal ciptaan dan tidak ada masa ia boleh terputus.
Nabi
saw yang lidahnya menyebut tentang kelebihan mengunjungi Masjid Aqsa kepada
umatnya adalah manusia yang paling faham bahawa bumi al Quds ini tidak akan
bertahan aman damai selamanya.
Sebaliknya
baginda saw sendiri menbayangkan bahawa tanah Palestin akan terus bergolak dan
mala petaka bertubi-tubi menimpa sebagai petanda akhir zaman dan hampirnya
kiamat.
Dari Abdullah bin Hawalah al Azdi katanya:
Rasulullah saw meletak tangannya di atas kepalaku dan berkata: Wahai Ibn
Hawalah! Apabila engkau melihat khilafah telah sampai ke Baitul Maqdis, maka
sebenarnya hampir tibalah gempa bumi, mala petaka dan pergolakan besar. Kiamat
ketika itu sangat hampir dengan manusia lebih hampir dari tanganku dengan
kepalamu.
( Hadith riwayat Ahmad Jil5:ms288 dan Abu
Dawud no:2535 ).
Pergerakan
pembebasan Kota al Quds bermula dengan peperangan Mu'tah, perutusan tentera
Usamah bin Zaid dan peperangan Yarmouk yang menyaksikan kemenangan Islam
mengalahkan tentera Romawi. Pada bulan Rabiul Awwal tahun 15 hijriah, Saidina
Umar bin al Khattab ra menerima anak
kunci Kota al Quds dan mementerai perjanjian yang dikenali sebagai al Uhdah al
Umariyyah.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha
penyayang;
Inilah apa yang telah diberikan hamba Allah
Umar, Amirul Mukminin keamanan kepada penduduk Iliya'. Dia (Allah) telah
memberikan keamanan untuk diri mereka, harta benda mereka, gereja-gereja mereka
dan rumah-rumah ibadah mereka samaada yang elok atau rosak dan kepada seluruh
penganut bahawa tidak sekali-kali gereja-gereja mereka dihuni (rampas) dan
tidak sekali-kali dimusnahkan dan sekali-kali dilakukan kekerasan terhadap
mereka samaada pada tubuh badan atau harta benda. Mereka sekali-kali tidak
dipaksa untuk meninggalkan agama mereka dan tidak sekali orang Yahudi menghuni
bersama mereka di Iliya'".
Menjadi kewajipan ke atas
penduduk Iliya' untuk
membayar jizyah sebagaimana ahli agama lain membayarnya. Menjadi kemestian ke
atas mereka untuk mengeluarkan orang Rom dan perompak, maka sesiapa dari kalangan
mereka yang keluar maka dia dan hartanya selamat sehinggalah dia sampai ke
tempat perlindungannya. Sesiapa dari kalangan mereka mahu kekal maka dia
selamat tetapi mestilah dia membayar jizyah sebagaimana yang dilakukan oleh
penduduk Iliya'".
Sesiapa dari kalangan penduduk Iliya' yang
mahu pergi dengan hartanya bersama-sama orang Rom maka mereka selamat
sehinggalah mereka sampai ke tempat perlindungan. Sesiapa dari kalangan
penduduk bumi ini yang mahu kekal maka hendaklah dia membayar jizyah
sebagaimana penduduk Iliya' dan sesiapa yang mahu berada di bawah Rom dan sesiapa yang
mahu kembali kepada keluarganya tidak diambil daripada mereka sesuatu pun
sehinggalah mereka menuai tanaman mereka. Sesungguhnya apa yang ada di atas
tulisan ini adalah janji yang bertunjang kepada Allah, Rasul dan para Khulafa'
dan orang-orang Mukmin jika mereka membayar jizyah yang diwajibkan ke atas
mereka.
Antara
isi kandung terpenting perjanjian aman dengan penduduk kristian di Kota al Quds
( Jurusalem atau Iliya' ) ialah tidak membenarkan pedudukan Yahudi di kota ini.
Sedangkan bangsa Yahudi tidaklah menimbulkan apa-apa permaslahan ketika itu. Ia
hanya ilham dan pandangan jauh Saidina Umar tentang masa depan dan nasib kota
ini jika diduduki sama oleh bangsa Yahudi.
Pembaca
al Quran akan meneliti di awalan surah al Isra' bagaimana gambaran sengitnya
pertarungan antara umat Islam dan Yahudi bangsa terlaknat ini berlaku di bumi
Isra' Rasulullah saw itu. Antara lainnya Allah swt menyebut;
[4] Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam
Kitab itu: “Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua
kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau.
[5] Maka apabila sampai masa janji (membalas
kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan
kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu
mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan
(sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku.
[6] Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.
[7] Jika kamu berbuat kebaikan,
(maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu
berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh
itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua,
(Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan
dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka
telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja
yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.
[8] Mudah-mudahan Tuhan kamu akan mengasihani kamu (kalau kamu bertaubat); dan jika kamu kembali (menderhaka), maka Kami pula akan kembali (menyeksa kamu di dunia); dan kami telah jadikan neraka: penjara bagi orang-orang kafir (pada hari akhirat).
Surah al Isra' : 4-8.
Ternyata
sekali bahawa pertarungan yang berlaku di Palestin bukanlah fenomena baru.
Sejarahnya telah lama terakam di dalam al Quran. Ia bermula dengan hukuman
Allah kepada Yahudi yang melanggar kehormatan Baitul Maqdis dan melakukan
kerosakan dan kedurjanaan di kota suci itu. Maka Allah swt mendatangkan bangsa
penzalim yang lebih dahsyat dari mereka untuk menjajah dan menakluk serta
mengazabkan mereka. Itu kemusnahan pertama Kota al Quds di tangan bala tentera
Bukhtunusar melakukan pembunuhan dan penghapusan etnik yang terburuk.
Juga
ditafsirkan bahawa janji kekalahan pertama mereka adalah dengan kemenangan
tentera umat Muhammad saw yang layak
bergelar hamba-hamba Allah swt dan penjejak langkah hambanya Muhammad saw. Mereka
juga benar-benar menguasai bandar-bandar besar dan menundukkan musuh dengan
mudahnya.
Sementara
janji kekalahan ke dua Yahudi, inilah yang menguji iman manusia kepada janji al
Quran. Petanda-petanda kepada hampirnya terjadi janji kehancuran dan terakhir
ini semakin menyerlah apabila mereka kembali pulang ke Palestin dengan penuh
kesombongan dan keangkuhan setelah memiliki kekuasaan dan kekayaan. Mereka
kembali untuk mengulangi perlakuan durjana dan kemusnahan di bumi suci ini.
Setiap mereka mengulangi kejahatan dan Allah pula mengulangi hukumannya.
Demikian teruknya layanan dan ketentuan Allah swt kepada bangsa terlaknat ini.
Telah tetaplah untuk mereka taqdir keburukan; Akan jatuh melakukan maksiat dan
akan jatuh menerima hukuman. Tiada layanan tuhan kepada mana-mana bangsa
seburuk layanan tuhan kepada bangsa Yahudi.
Janji
kemenangan Islam di Palestin secara khusus bermula dengan janji kekal
bertahannya sekumpulan pemberani berhadapan dengan musuh-musuh di pinggiran
Baitil Maqdis.
Dari Abu Umamah al Bahili katanya: Rasulullah
saw bersabda: Terus berkekalan wujudnya
sekumpulan dari umatku yang berterus terang dengan agama, gagah mengalahkan
musuh dan tidak pula tergugat dengan penyanggah mereka. Tidak pula menimpa
mereka sebarang kepayahan hidup sehinggalah datangnya urusan Allah.
( Hadith riwayat Imam Ahmad dengan sanad
dhaif. Asal pangkal hadith riwayat al Bukhari dan Muslim dari hadith mutawatir
).
Hadith
ini melakarkan pertembungan di Palestin khasnya adalah antara tiga golongan
iaitu;
1-
Golongan penegak kebenaran dengan
berani.
2-
Musuh yang menentang mereka secara
terangan.
3-
Golongan pembantah yang sentiasa
membantutkan pergerakan golongan penegak kebenaran bertujuan melunturkan
semangat dan melemahkan pendirian.
Kumpulan
ini digambar terpaksa berhadapan dengan kesempitan hidup dan kesakitan yang
amat tetapi masih gagah bertahan sebagaimana pesanan Allah kepada pejuang
terdahulu;
" Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak
sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan
ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka memerangi kamu, mereka
akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah
itu mereka tidak akan mencapai kemenangan ".
Surah ali Imran:111.
Dan juga firmannya:
" Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa,
(maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya
Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan."
Surah ali Imran:120.
Hadith yang paling sahih dan sarih ( nyata ) mengenai kisah pertembungan antara umat Islam dan Yahudi ialah jadith berikut;
Dari Abu Hurairah, sabda Rasulullah saw: Tidak
berlaku kiamat sehinggalah kamu muslimin akan berperang dengan Yahudi. Mereka
akan dibunuh oleh kaum muslimin sehingga si yahudi terpaksa bersembunyi di
belakang batu dan kayu. Sehingga bertuturnya batu dan kayu berkata: Hai si
muslim ! Hai Abdullah ( Hamba Allah ) ! Ini si Yahudi di belakangku datang
bunuhlah dia. Kecuali pohon Gharqad kerana ianya pohon Yahudi.
( Hadith riwayat al Bukhari Jil.4 ms.51 dan
Muslim no.2922 ).
Demikianlah
hadith ini memperincikan kisah pertarungan terakhir antara muslimin dan yahudi.
Ia adalah berita qadar yang amat memberansangkan. Cuma bukanlah kita hanya
berpeluk tubuh menunggu saat ini. Tentu sekali sikap ini adah kefahaman
terburuk bagi maksud hadith ini. Sebaliknya kita diberi ransangan untuk
menyertai jihad di Palestin untuk mendapat kelebihan dan kemuliaan yang
dijanjikan. Walaupun kita tahu di tangan siapakah panji kemenangan akan
tercapai.
Sungguh
menarik apabila panggilan "Hai muslim!" dan "Hai Abdullah!"
yang menjadi laungan batu dan pepohon. Ini dua sifat umum yang melampaui batas
sempadan darah dan keturunan, warganegara dan bahasa pertuturan. Asalkan islam
( menyerah diri dan tunduk kepada Allah ) dan ubudiyyah (memperhambakan diri
kepada Allah ), maka mereka bertanggungjawab untuk membebaskan Palestin dan
menghapuskan kedurjanaan yahudi. Maka sesiapa sahaja yang berkerja untuk Islam
di mana jua, semestinya memberi saham kepada pembebasan Palestin. Sesiapa yang
diberi taufiq tuhan untuk memperhambakan diri kepada Allah di mana jua, maka
dia sebenarnya terpilih untuk menjadi tentera pembebasan Palestin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan