Siasah adalah menguruskan kepentingan awam demi memelihara kemaslahatan
mereka. Kepimpinan pula adalah wasilah siasah dalam semua peringkat dan institusi.
Siasah dan kepimpinan menurut Islam adalah satu implementasi dari kefahaman
yang benar dari cahaya ilmu al Quran dan as Sunnah dalam menguruskan kehidupan
manusia sejagat.
Al Imam at Thabari mempunyai pandangan yang bernas ketika menafsirkan
ayat 79 surah aly Imran yang membawa metod yang sebenar dalam pengambilan dan
penyampaian ilmu kitab.
Iaitu firman Allah;
مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَنْ يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ
وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِي مِنْ
دُونِ اللَّهِ وَلَكِنْ كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنْتُمْ
تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنْتُمْ تَدْرُسُونَ
Bermaksud :
" Tidaklah
patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan
hikmat serta pangkat Nabi, kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai:
“Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan
perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya ia berkata): “Hendaklah kamu
menjadi orang-orang Rabbaniyin, kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab
Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya. "
Surah aly Imran : 79.
Rabbaniyyin menurut Iman at Thabari ialah :
Mereka yang menguruskan manusia sesuai dengan kemaslahatan mereka.
Justeru, seseorang alim yang mendalami kefahamannya dan memiliki kebijaksanaan adalah
golongan pembawa kemaslahatan ( muslih ) kepada umat manusia, melalui ilmu dan
ajaran yang baik serta dakwah pemulihan yang dilakukannya. Dia semestinya
seorang yang berhikmah dan bertaqwa kepada Allah.
Begitu juga seorang pemerintah yang menguruskan kepentingan masyarakat
awam di atas minhaj ( landasan ) yang dianjurkan oleh konsep keadilan dan islah
( reformasi ) dengan memandu umat manusia mencapai kejayaan dan pulangan
keuntungan untuk agama dan dunia mereka, manfaat cepat dan lambat mereka.
Golongan ini semua layak bergelar rabbaniyyun. Justeru rabbaniyyun
adalah toggak masyarakat manusiawi dalam kefahaman yang betul terhadap ajaran
Islam dan kepimpinan yang bijaksana dalam meperturunkan ilmu yang betul ke
medan sebenar.
Maka rabbaniyyun lebih hebat dari ulama dan pendeta ( ahbar ),
sebagaimana kata Mujahid, kerana rabbani bukan sahaja penghimpun ilmu dan fiqh,
namun juga berpandangan tajam mengenai siasah dan tadbir dalam menguruskan hal
ehwal rakyat demi maslahat dunia dan agama.
( at Thabari, Jamiul Bayan: 6/543-544 ).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan