Jumaat, 8 November 2013

Hijrah Nabawiyyah | Jiwa Besar & Langkah Strategik.

Berhadapan dengan kabilah-kabilah Arab di musim haji.

Selepas pulangnya Rasulullah s.w.a dari peristiwa Isra' dan Mi'raj baginda Rasulullah s.a.w. berjiwa besar mendedahkan dirinya berdepan dengan pemuka-pemuka kabilah di musim haji. Baginda Rasulullah s.a.w memberi penerangan tentang Islam dan membuat tawaran untuk diberi tempat dan pertolongan kepada Baginda saw untuk menyampaikan kalimah Allah s.w.t. Nabi s.a.w. bergerak di tengah-tengah pasar perniagaan  di Makkah dan di musim haji yang berhimpunnya kabilah-kabilah Arab dari seluruh pelusuk semenanjung.

Pergerakan Baginda s..a.w. mempunyai strategi siasah dan dakwah yang jelas sasaran dan objektifnya ditemani oleh Abu Bakar as-Siddiq seorang yang berpengetahuan luas mengenai nasab keturunan Arab dan sejarah latar belakang mereka. Mereka berdua mensasarkan kepala-kepala kabilah dan orang-orang yang berpengaruh. Abu Bakar r.a bertindak sebagai perisik yang berkesan apabila mengajukan soalan-soalan berikut kepada kepala-kepala kabilah yang ditemuinya;

Berapa bilangan kamu? Bagaimana pertahanan kamu? Bagaimana bentuk peperangan kamu?
Beliau membuat tinjauan awal sebelum membawa Rasulullah s.a.w. bercakap dan menawarkan dakwahnya kepada mereka. Al Maqrizi menyebut kemudian Nabi s.a.w berdepan dengan kabilah-kabilah di musim haji dan mengajak mereka kepada Islam. Meraka ialah Bani 'Amir, Bani Ghassan, Bani Fizarah, Bani Murrah, Bani Hanifah, Bani Salim, Bani Abas, Bani Nasr, Sa'labah bin Ukabah, Kanadah, Kalb, Bani al Harith bin Kaab, Bani Azarah, Qais bin al Khatib, Abul Yasar, Anas bin Abu Rafi'.

Al Waqidi memperincikan berita pertemuan Nabi s.a.w. kabilah demi kabilah. Dikatakan bahawa Nabi s.a.w memulakan kepada Bani Kalb, Bani Hanifah, kemudian Bani 'Amir. Nabi s.a.w bersabda: " Siapakah lelaki yang boleh membawaku pulang ke kaumnya lalu mempertahankan aku sehingga aku menyampaikan risalah tuhanku ".

Quraish telah menahanku dari menyampaikan risalah tuhanku. Abu Lahab mengiringinya dari belakang dengan katanya kepada orang ramai jangan kamu mendengar darinya kerana dia adalah pembohong besar. Al Bukhari di dalam At-tarikhnya menyebut dari Mudrij bin Munib dari bapa dari datuknya r.a :

" Aku melihat Rasulullah s.a.w di zaman jahiliyah Baginda bersabda wahai manusia katakanlah lailahaillallah, kamu akan berjaya. Antara orang ramai ada yang meludah dimukanya, ada yang menabur tanah keatasnya, ada yang mengutuknya sehingga waktu tengah hari, lalu datang lah seorang anak dara membawa bejana air membasuh muka dan tangan Nabi s.a.w.

Baginda saw pula bersabda : " Wahai anak perempuanku ! Janganlah kau bimbang bapamu tewas atau hina ". Aku bertanya : Siapakan perempuan ini? Orang memberitahu: " Itulah Zainab bintu Muhammad s.a.w, dia seorang anak dara yang cantik ". Abu Jahal dan Abu Lahab bersilih ganti menyakitkan Rasulullah s.a.w ketika Baginda berdakwah di pasar dan di musim haji. Nabi s.a.w berhadapan dengan kesukaran dari mereka berdua sebelum kesukaran sasaran dakwah itu sendiri.

Langkah Nabi s.a.w menghadapi perancangan Abu Jahal dan sekutunya.

1.      Berjumpa dengan kabilah di waktu malam.
2.      Menemui kabilah-kabilah Arab di khemah-khemah mereka
3.      Membawa teman pengiring seperti Abu Bakar dan Ali
4.      Memastikan kabilah itu sendiri mempunyai kawalan keselamatan tersendiri.

Pertemuan dengan Bani 'Amir

Bani 'Amir dipilih kerana mempunyai bala tentera bala tentera yang ramai dan kuat. Mereka termasuk di kalangan 5 kabilah Arab yang tidak pernah ditawan dan tidak tunduk kepada mana-mana raja dan tidak membayar apa-apa ufti. Mereka dalam hal ini setaraf dengan Quraish dan Khuza'ah. Nabi s.a.w mengetahui bahawa adanya permusuhan lama di antara Bani 'Amir dan Bani Thaqif yang telah mengisytiharkan permusuhan dengan Nabi s.a.w.

Jika berjaya membuat hubungan atau perjanjian dengan Bani 'Amir maka Thaqif berhadapan dengan bahaya besar. Pengkaji sirah menyebut bahawa apabila Nabi s.a.w mengunjungi Bani 'Amir bin So'so'ah, baginda s.a.w mendakwah mereka kepada tauhidkan Allah dan menawarkan dirinya kepada mereka.

Ada seorang lelaki bernama Baiharah bin Firas berkata: " Demi Allah jika aku mengambil anak muda dari Quraish ini pasti aku dapat meratah bangsa Arab. Dia kemudiannya berkata kepada Rasulullah s.a.w : Apa pandangan mu jika kami berjanji setia dengan urusanmu, kemudian Allah memberi kemenangan mengalahkan musuhmu, apakah kami akan memilki apa-apa kuasa selepasmu ?

Rasulullah s.a.w menjawab: Urusan itu terpulanglah kepada Allah. Dia sahajalah yang meletakkanya di mana dia mahu. Dia berkata : Bagaimana boleh kami dedahkan tengkuk-tengkuk kami kepada bangsa Arab demi pertahankan engkau, tiba-tiba apabila Allah memberi kemenangan, kuasa terserah kepada bukan orang kami? Tiada keperluan untuk kami untuk berurusan dengan engkau. Mereka menolak tawaran Nabi s.a.w.

Rundingan dengan Bani Syaiban.

Menurut riwayat Ali bin Abi Talib r.a : Kemudian kami beredar ke majlis lain. Nabi s.a.w penuh dengan ketenangan dan kehebatanya. Abu Bakar r.a  mendahului memberi salam dengan berkata siapakah kamu? Mereka menjawab : Syaiban bin Tha'labah. Abu Bakar melihat kepada abu Bakar s.a.w dan berkata mereka inilah pemuka-pemuka Arab. Dikalangan mereka ada Mafruq yang paling petah bercakap dan paling segak dipandang.

Abu Bakar bertanya : berapa bilangan kamu. Mafruq menjawab : kami melebihi 1000 yang tidak tewas kerana sedikit. Abu Bakar bertanya lagi: Bagaimana kamu mempertahankan diri? Mafruq menjawab : Kami menjadi terlalu pemarah apabila bertempur dan pertempuran menjadi kemuncak apabila kami naik marah. Kami melebihkan kuda-kuda perang berbanding dengan anak-anak sendiri, mementingkan senjata perang berbanding pertanian. Adapun kemenangan maka ianya dari Allah. Kadang-kadang kami menang, kadang-kadang kami kalah. Boleh jadi engkaulah saudara dari Quraish itu?

Abu Bakar menjawab : Jika telah sampai kepada kamu berita mengenai Rasulullah s.a.w maka inilah orangnya. Mafruq bertanya : Kepada apakah engkau mengajak kami wahai saudara Quraish? Rasulullah s.a.w menjawab : Kepada kesaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah dengan esanya tanpa sebarang sekutu.

Sementara aku pula adalah hamba Allah dan utusannya. Juga aku mengajak kamu untuk melindungiku dan membantuku kerana Quraish telah berterang-terangan menolak Allah dan membohongi Rasulnya serta merasa cukup dengan kebatilan dan meminggirkan kebenaran. Allah jualah yang maha kaya lagi maha terpuji. Mafruq bertanya : Kepada apakah lagi seruan mu wahai saudara Quraish? Demi Allah aku belum pernah mendengar bicara yang lebih cantik daripada ini.
Nabi s.a.w membacakan ayat 151 dari surah al an'am.

قُلْ تَعَالَوْا أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ ۖ أَلَّا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۖ وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُم مِّنْ إِمْلَاقٍ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ ۖ وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ ۖ وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّـهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ ﴿١٥١﴾

Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.

Mafruq berkata : Demi Allah engkau menyeru kepada akhlak mulia dan perlakuan baik.  Rugilah puak yang menuduhmu bohong atau menentangmu. Dia menyerahkan keputusan kepada Hani' bin Qubaisah dengan katanya : Inilah Hani' penghulu kami dan ketua agama kami. Hani' berkata : Aku telah mendengar ucapan mu wahai saudara qurisy. Cuma aku berpandangan untuk meninggalkan agama kami dan mengikut agama kamu hanya dengan satu majlis yang tiada pendahulu dan tiada penutup adalah pendapat dangkal dan singkat. Sesungguhnya kesilapan sering berlaku kerana kegopohan.

Kami belum bersedia untuk membuat apa-apa perjanjian mewakili orang ramai di belakang kami. Kami akan pulang dan engkau pulanglah utnuk kami membuat penilaian. Dia kemudian memasukkan al Musanna bin Harithah untuk menyertai sama membuat keputusan dengan katanya. Inilah al muthanna orang tua kami dan panglima perang kami. Al Muthanna (dia masuk Islam akhirnya) berkata aku telah mendengar ucapanmu wahai saudara Quraish. Cuma jawapannya adalah sebagaimana jawapan Hani' untuk meninggalkan agama kami dan mengikut agama kamu.

Sebenarnya penempatan kami adalah di antara dua kuasa iaitu Yamamah dan Samamah. Nabi bertanya apakah dua kuasa itu? Dia menjawab sungai-sungai Kisra dan tadahan air Arab. Adapun dari pihak sungai-sungai Kisra maka kesalaha untuknya tidak akan diampun dan sebarang alasannya tidak akan diterima. Kami telah mementerai perjanjian dengan Kisra untuk tidak membawa perancangan baru dan tidak melindingi mereka yang membawa idea baru. Kami berpendapat perkara yang engkau serukan ini wahai saudara Quraish adalah satu urusan yang dibenci oleh raja-raja.

Jika engkau hanya mahukan kami memberi perlindungan dan bantuan kepada engkau hanya untuk daerah yang dikuasai oleh tadahan air Arab, maka kami boleh laksanakan. Nabi s.,a.w menjawab : Kamu tidaklah buruk ketika memberi jawapan balas dan kamu telah jelas bercakap benar. Sesungguhnya agama Allah ini tidak membantunya melainkan mereka yang sanggup untuk meliputinya dari segenap penjurunya. Apa pandangan kamu jika kamu bertenang sekejap sehinggalah Allah mewariskan kamu bumi dan perkampungan mereka itu dan menawan untuk kamu perempuan mereka. Apakah ketika itu kamu akan bertasbih dan memuji kebesaran Allah ?. An Nu'man bin Syuraik menjawab : Ya Allah! Itu sahaja lah untuk engkau.

Pelajaran dari peristiwa Pertemuan dan Rundingan Nabi saw dengan Qabilah Arab.

1.      Nabi s.a.w menuntut bantuan dan pertolongan dari luar Makkah hanyalah selepas memuncaknya penolakan dari Quraish dan gangguan yang luar biasa terutama selepas kewafatan bapa saudaranya Abu Thalib yang selama ini melindunginya dari gangguan Quraish. Sesorang yang membawa usaha dakwah tidak lagi mampu bergerak secara berkesan dalam suasana kekerasan tekanan dan gangguan fizikal.

2.      Nabi s.a.w menawarkan dirinya kepada kabilah-kabilah Arab dan memohon pertolongan mereka setelah diperintahkan berbuat demikian oleh Allah s.w.t. Ianya bukanlah ijtihad atau pandangan peribadi Nabi s.a.w. Namun itulah kesesuaian marhalah setelah dakwah sampai ke tahap itu.


3.      Nabi s.a.w membuat pilihan untuk memohon bantuan daripada pemuka-pemuka kabilah mereka yang mempunyai kedudukan dan pengaruh dan mempunyai ramai pengikut yang boleh mendengar dan mematuhi mereka. Ini kerana, golongan inilah yang dianggap untuk memberi perlindunagn kepada dakwah dah dan pendakwah.

4.      Nabi s.a.w enggan memberi kepada pihak-pihak yang bersedia untuk membantunya apa-apa jaminan untuk penyerahan kuasa dan kerajaan sebagai bayaran atau imbuhan bagi bantuan dan sokongan kepada dakwah. Ini kerana dakwah islam adalah dakwah kepada Allah yang syarat asasinya adalah dilaksanakan oleh mereka yang beriman kepada dakwah dan bersedia untuk membantunya dengan ikhlas kerana Allah dan mencari perkenannya. Inilah matlamat yang dicari disebalik pertolongan dan pengorbanan bukannya untuk mendapat kuasa atau gilakan pangkat.


5.      Antara ciri-ciri bantuan yang dicari Nabi untuk dakwahnya adalah pemberi pertolongan tidak seharusnya terikat dengan perjanjian dengan perjanjian antarabangsa yang bercanggah dengan kehendak dakwah dan tidak mampu bebas dari iktan tersebut. Ini kerana jika mereka menaungi dakwah dalam situasi tersebut maka dakwah terdedah kepada bahaya tersempit dicelah-celah perjanjian yang tidak menguntungkan penyebaran dakwah dan kepentingannya. Dalam kes Bani syaiban yang ada perjajian dengan Kisra pastinya Bani syaiban tidak akan berperang dengan pihak Kisra dan pihak Kisra juga boleh menangkap Rasulullah s.a.w atau baginda diserah tanpa sebarang bantahan terhadap pihak Kisra. Justeru, rundingan dengan Bani syaiban adalah gagal.

6.      Sesungguhnya agama llah itu hanyalah dibantu oleh orang yang menerimanya dari segenap penjuru. Inilah jawapan Rasullah s.aw. kepada al Muthanna bin Harithah ketika dia menawarkan perlindungan kepada Nabi s.a.w hanyalah dikawasan tadahan air Arab bukannya di kawasan sungai-sungai Parsi.


7.      Sikap Bani Syaiban bercirikan kepahlawanan dan keperibadian unggul dengan penuh rasa penghormatan tinngi kepada tawaran Nabi s.a.w. Mereka telah menjelaskan batas kemampuan perlindungan yang mampu mereka penuhi. Takdir Allah kepada Bani syaiban selepas 10 tahun atau lebih untuk memikul tugasan berhadapan dengan kerajaan-kerajaan tersebut setelah mereka menerima islam.

Maka, al Muthanna bin Harithah as Syaibani, panglima tentera dan pahlawan terkemuka mereka inilah yang memimpin tentera islam memerangi kerajaan Parsi bermula di zaman Abu Bakar As Siddiq lagi. Dia dan kaumnya lah yang menjadi kaum muslimin yang paling berani dan tangkas memerangi kerajaan Parsi sedangkan di zaman jahiliyah merekalah yang menggeruni Parsi dan mereka sendiri tidak permah berfikir untuk memerangi bangsa Parsi.







Selasa, 28 Mei 2013

Menuntut Kesempurnaan Solat. Mana yang afdhal ( terbaik ), lama berdiri ( qiam ) atau lama sujud ?


Ada 3 pandangan ulama' berdasar hadith-hadith berkenaan.

1.       Lama sujud adalah afdhal berdasarkan hadith-hadith berikut ;

Sabda Rasulullah saw kepada seorang sahabat yang bertanyakan amal yang memasukkan diri ke syurga: " Hendaklah engkau perbanyakkan sujud. Ini kerana tidaklah engkau sujud sekali sujud melainkan Allah swt angkatkan dengan sebabnya satu darjat dan gugurkan satu kesalahan " HR Muslim.

Sabda Rasulullah saw kepada Rabi'ah yang meminta agar dapat menemani Nabi saw di dalam syurga : " Bantulah aku untuk dirimu jua dengan memperbanyakkan sujud." HR Muslim.

Hadith dari Abi Hurairah ra, sabda baginda saw: " Sedekat-dekat hamba dengan tuhannya adalah ketika sujud " HR Muslim.

Ibn Abbas meriwayatkan sabda Rasulullah saw : " Adapun sujud maka bersungguhlah kamu berdoa ketika itu kerana terjamin ianya diterima ". HR Muslim.


2.       Lama berdiri adalah afdhal kerana sabda Rasulullah saw : Sebaik-baik solat adalah panjangnya qunut ( berdiri ). HR Muslim.
Menurut al Imam an Nawawi : Sepakat ulama' abhawa qunut di sini adalah berdiri.
Menurut al Thabari dan Ibn Kathir: Qunut samada berdiri atau taat ( khusyu' ).

3.       Kedua-duanya sama pada kelebihan.
Kesimpulan ulama' :
1.       Ibnu Taimiah berkata : Panjangkan rukun samada berdiri, ruku' dan sujud lebih baik dari perbanyakkan semua itu.
2.       Solat Nabi saw adalah seimbang. Jika dipanjangkan berdiri maka dipanjangkan juga ruku' dan sujud.
3.       Khusyu' menjadi pertimbangan utama. Jika dipanjangkan rukun lebih khusyu' maka dipanjangkan adalah afdhal. Jika dia hanya khusyu' dengan memendekkan, maka dipendekkan. Yang penting adalah perasaan keseronokan dan ketenangannya yang menjadi rahsia sebenar solat.


( Solat al Mu'min, Dr Said al Qahthani : 473-476 ). 

Jumaat, 17 Mei 2013

Palestin Bumi Pertemuan dan Pertembungan.


  


" Dibawa kepadaku buraq, lalu aku menunggangnya sehingga tiba di Baitil Maqdis. Aku menambatnya di lingkaran ( halaqah ) yang sentiasa ditambat di situ  ( kenderaan tunggangan ) nabi-nabi as terdahulu. Kemudian aku masuk ke masjid itu dan sembahyang dua rakaat sebelum aku dibawa ke langit "
( Petikan dari hadith Rasulullah saw dari Anas bin Malik di dalam Sahih Muslim no:209 ).                
Ajaib sungguh halaqah atau lingkaran Baitil Maqdis yang amat dikenali oleh semua nabi dan rasul utusan tuhan sebagai tempat tambatan kenderaan tunggangan mereka. Sempadan masa dan jarak tempat tidak mampu memisahkan kesatuan dan pertemuan mereka di bumi al Aqsa. 
Ibnu Umar ra pernah berkata: Baitul Maqdis dibina dan dimakmurkan oleh nabi-nabi as. Tiada sejengkal bumi di situ yang belum menjadi tempat sujud malaikat atau tempat berdirinya malaikat.
Nu'man bin Atha' pula menyebut: Tiada suatu tempat pun di Baitil Maqdis yang belum menjadi tempat sujud para malaikat atau para nabi. Semoga dahimu bersentuhan dengan dahi malaikat atau nabi.
Kehendak Allah swt dan pilihannya mentakdirkan Masjid Aqsa menjadi tempat pertemuan, perhimpunan dan perkumpulan untuk mentaatinya samada melalui ibadat atau jihad.
Maimunah ra menceritakan, aku berkata :
Wahai Rasulullah! Fatwakan kami mengenai Baitil Maqdis. Baginda saw bersabda: " Bumi perhimpunan dan dan pertemuan. Berkunjunglah kepadanya dan solat di sana kerana solat di sana seumpama seribu kali solat di tempat lain. Aku bertanya: Apa kata engkau jika aku tidak mampu ke sana? Baginda saw bersabda: Engkau hadiahkan untuknya minyak zaitun untuk diterangi pelita di sana. Sesiapa yang boleh lakukan demikian maka ganjarannya sama dengan orang yang mengunjunginya.
( Hadith riwayat Abu Dawud no:457 dan Ibn Majah no: 1407 dengan sanad sahih ).
Demikianlah Rasulullah saw menamakan Baitul Maqdis sebagai bumi perhimpunan dan pertemuan. Destinasi yang menemukan nabi-nabi terdahulu dan pejuang-pejuang agama Allah sehingga akhir zaman. Pertemuan semestinya berlaku di sana. Samada pertemuan fizikal atau spiritual. Jika tubuh badan tidak boleh sampai ke sana, maka janganlah sebarang tanda bantuan dan sokongan tidak kunjung tiba. Walupun minyak zaitun yang boleh digunakan untuk menerangi Masjid Aqsa. Biar ia terang benderang walaupun tanpa kehadiran kita. Ini kerana musuh umat Islam mahukan ianya malap kegelapan atau ditutup terus kalaupun tidak runtuh terbenam. Dalam konteks ini sepatutnya difahami hadith galakan untuk bersungguh menyediakan persiapan mengunjungi tiga masjid terbesar Islam.
Dari Abu Hurairah ra katanya: Rasululullah saw bersabda:
" Janganlah bersungguh melakukan perjalanan jauh melainkan ke tiga masjid; Masjid Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Aqsa. "
( Hadith riwayat al Bukhari Jil2:ms86 dan Muslim no:1397 ).
Ramai pembaca hadith ini hanya memberi tumpuan kepada kelebihan dua masjid yang pertama sahaja. Disangkanya bahawa kelebihan Masjid Aqsa tiada ruang untuk mengamalkannya di masakini. Maka segala kesungguhan persiapan hanya untuk ke Mekah atau Madinah melaksanakan haji atau umrah. Mereka lupa bahawa sebenarnya bekalan lebih besar diperlukan untuk persiapan ke bumi Palestin. Di sana tiada haji dan umrah, tetapi ada jihad dan murabathah ( pertahankan tanah suci Islam ).
Maka hadith ini masih segar isi kandungannya. Semoga segala usaha untuk menyampaikan bantuan ke sana masih lagi lagi dalam lingkungan fadhilat hadith ini. Tidak sekali-kali terpisah kehebatan dua majid ini, Masjid Aqsa dan Masjid Haram sejak ia mula dibina sebagai masjid pertama dan ke dua terawal.
Dari Abu Zar: Aku bertanyakan Rasulullah saw, apakah masjid pertama yang dibina di bumi ini? Baginda saw menjawab: Masjid Haram. Aku bertanya lagi, kemudian masjid apa? Baginda saw menjawab: Masjid Aqsa. Aku bertanya: Berapa jarak anatara ke duanya? Baginda saw menjawab : 40 tahun.
( Hadith riwayat al Bukhari Jil.4,ms.177, Muslim no:520 ).
Ibnu al-Jawzi dalam karyanya Fadha'il al Quds meriwayatkan satu athar dari Aishah ra : Mekah adalah negeri agung dimuliakan Allah swt dan ditinggikan kehormatannya sebelum Allah swt mencipta mana-mana bumi selama seribu tahun. Kemudian dia menyambungnya dengan bumi Madinah dan dari Madinah pula disambung ke bumi Baitul Maqdis. Selepas seribu tahun baru Allah swt menjadi bumi ini satu ciptaan.
Demikian bumi al Quds bersatu dan bersambung dengan tanah haram Mekah dan Madinah sejak awal ciptaan dan tidak ada masa ia boleh terputus. 
Nabi saw yang lidahnya menyebut tentang kelebihan mengunjungi Masjid Aqsa kepada umatnya adalah manusia yang paling faham bahawa bumi al Quds ini tidak akan bertahan aman damai selamanya.
Sebaliknya baginda saw sendiri menbayangkan bahawa tanah Palestin akan terus bergolak dan mala petaka bertubi-tubi menimpa sebagai petanda akhir zaman dan hampirnya kiamat.
Dari Abdullah bin Hawalah al Azdi katanya: Rasulullah saw meletak tangannya di atas kepalaku dan berkata: Wahai Ibn Hawalah! Apabila engkau melihat khilafah telah sampai ke Baitul Maqdis, maka sebenarnya hampir tibalah gempa bumi, mala petaka dan pergolakan besar. Kiamat ketika itu sangat hampir dengan manusia lebih hampir dari tanganku dengan kepalamu.
( Hadith riwayat Ahmad Jil5:ms288 dan Abu Dawud no:2535 ).
     
Pergerakan pembebasan Kota al Quds bermula dengan peperangan Mu'tah, perutusan tentera Usamah bin Zaid dan peperangan Yarmouk yang menyaksikan kemenangan Islam mengalahkan tentera Romawi. Pada bulan Rabiul Awwal tahun 15 hijriah, Saidina Umar  bin al Khattab ra menerima anak kunci Kota al Quds dan mementerai perjanjian yang dikenali sebagai al Uhdah al Umariyyah.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha penyayang;
Inilah apa yang telah diberikan hamba Allah Umar, Amirul Mukminin keamanan kepada penduduk Iliya'. Dia (Allah) telah memberikan keamanan untuk diri mereka, harta benda mereka, gereja-gereja mereka dan rumah-rumah ibadah mereka samaada yang elok atau rosak dan kepada seluruh penganut bahawa tidak sekali-kali gereja-gereja mereka dihuni (rampas) dan tidak sekali-kali dimusnahkan dan sekali-kali dilakukan kekerasan terhadap mereka samaada pada tubuh badan atau harta benda. Mereka sekali-kali tidak dipaksa untuk meninggalkan agama mereka dan tidak sekali orang Yahudi menghuni bersama mereka di Iliya'".
Menjadi kewajipan ke atas penduduk Iliya' untuk membayar jizyah sebagaimana ahli agama lain membayarnya. Menjadi kemestian ke atas mereka untuk mengeluarkan orang Rom dan perompak, maka sesiapa dari kalangan mereka yang keluar maka dia dan hartanya selamat sehinggalah dia sampai ke tempat perlindungannya. Sesiapa dari kalangan mereka mahu kekal maka dia selamat tetapi mestilah dia membayar jizyah sebagaimana yang dilakukan oleh penduduk Iliya'".
Sesiapa dari kalangan penduduk Iliya' yang mahu pergi dengan hartanya bersama-sama orang Rom maka mereka selamat sehinggalah mereka sampai ke tempat perlindungan. Sesiapa dari kalangan penduduk bumi ini yang mahu kekal maka hendaklah dia membayar jizyah sebagaimana penduduk Iliya' dan sesiapa yang mahu berada di bawah Rom dan sesiapa yang mahu kembali kepada keluarganya tidak diambil daripada mereka sesuatu pun sehinggalah mereka menuai tanaman mereka. Sesungguhnya apa yang ada di atas tulisan ini adalah janji yang bertunjang kepada Allah, Rasul dan para Khulafa' dan orang-orang Mukmin jika mereka membayar jizyah yang diwajibkan ke atas mereka.

Antara isi kandung terpenting perjanjian aman dengan penduduk kristian di Kota al Quds ( Jurusalem atau Iliya' ) ialah tidak membenarkan pedudukan Yahudi di kota ini. Sedangkan bangsa Yahudi tidaklah menimbulkan apa-apa permaslahan ketika itu. Ia hanya ilham dan pandangan jauh Saidina Umar tentang masa depan dan nasib kota ini jika diduduki sama oleh bangsa Yahudi.
Pembaca al Quran akan meneliti di awalan surah al Isra' bagaimana gambaran sengitnya pertarungan antara umat Islam dan Yahudi bangsa terlaknat ini berlaku di bumi Isra' Rasulullah saw itu. Antara lainnya Allah swt menyebut;
[4] Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: “Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau.
[5] Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku.

[6] Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.

[7] Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.

[8] Mudah-mudahan Tuhan kamu akan mengasihani kamu (kalau kamu bertaubat); dan jika kamu kembali (menderhaka), maka Kami pula akan kembali (menyeksa kamu di dunia); dan kami telah jadikan neraka: penjara bagi orang-orang kafir (pada hari akhirat).
                 Surah al Isra' : 4-8.
Ternyata sekali bahawa pertarungan yang berlaku di Palestin bukanlah fenomena baru. Sejarahnya telah lama terakam di dalam al Quran. Ia bermula dengan hukuman Allah kepada Yahudi yang melanggar kehormatan Baitul Maqdis dan melakukan kerosakan dan kedurjanaan di kota suci itu. Maka Allah swt mendatangkan bangsa penzalim yang lebih dahsyat dari mereka untuk menjajah dan menakluk serta mengazabkan mereka. Itu kemusnahan pertama Kota al Quds di tangan bala tentera Bukhtunusar melakukan pembunuhan dan penghapusan etnik yang terburuk.
Juga ditafsirkan bahawa janji kekalahan pertama mereka adalah dengan kemenangan tentera  umat Muhammad saw yang layak bergelar hamba-hamba Allah swt dan penjejak langkah hambanya Muhammad saw. Mereka juga benar-benar menguasai bandar-bandar besar dan menundukkan musuh dengan mudahnya.
Sementara janji kekalahan ke dua Yahudi, inilah yang menguji iman manusia kepada janji al Quran. Petanda-petanda kepada hampirnya terjadi janji kehancuran dan terakhir ini semakin menyerlah apabila mereka kembali pulang ke Palestin dengan penuh kesombongan dan keangkuhan setelah memiliki kekuasaan dan kekayaan. Mereka kembali untuk mengulangi perlakuan durjana dan kemusnahan di bumi suci ini. Setiap mereka mengulangi kejahatan dan Allah pula mengulangi hukumannya. Demikian teruknya layanan dan ketentuan Allah swt kepada bangsa terlaknat ini. Telah tetaplah untuk mereka taqdir keburukan; Akan jatuh melakukan maksiat dan akan jatuh menerima hukuman. Tiada layanan tuhan kepada mana-mana bangsa seburuk layanan tuhan kepada bangsa Yahudi.     

Janji kemenangan Islam di Palestin secara khusus bermula dengan janji kekal bertahannya sekumpulan pemberani berhadapan dengan musuh-musuh di pinggiran Baitil Maqdis.

Dari Abu Umamah al Bahili katanya: Rasulullah saw bersabda:  Terus berkekalan wujudnya sekumpulan dari umatku yang berterus terang dengan agama, gagah mengalahkan musuh dan tidak pula tergugat dengan penyanggah mereka. Tidak pula menimpa mereka sebarang kepayahan hidup sehinggalah datangnya urusan Allah.   
( Hadith riwayat Imam Ahmad dengan sanad dhaif. Asal pangkal hadith riwayat al Bukhari dan Muslim dari hadith mutawatir ).

Hadith ini melakarkan pertembungan di Palestin khasnya adalah antara tiga golongan iaitu;
1-      Golongan penegak kebenaran dengan berani.
2-      Musuh yang menentang mereka secara terangan.
3-      Golongan pembantah yang sentiasa membantutkan pergerakan golongan penegak kebenaran bertujuan melunturkan semangat dan melemahkan pendirian. 
Kumpulan ini digambar terpaksa berhadapan dengan kesempitan hidup dan kesakitan yang amat tetapi masih gagah bertahan sebagaimana pesanan Allah kepada pejuang terdahulu;
" Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan ".
Surah ali Imran:111.
Dan juga firmannya:
" Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan."
Surah ali Imran:120.

Hadith yang paling sahih dan sarih ( nyata ) mengenai kisah pertembungan antara umat Islam dan Yahudi ialah jadith berikut;

Dari Abu Hurairah, sabda Rasulullah saw: Tidak berlaku kiamat sehinggalah kamu muslimin akan berperang dengan Yahudi. Mereka akan dibunuh oleh kaum muslimin sehingga si yahudi terpaksa bersembunyi di belakang batu dan kayu. Sehingga bertuturnya batu dan kayu berkata: Hai si muslim ! Hai Abdullah ( Hamba Allah ) ! Ini si Yahudi di belakangku datang bunuhlah dia. Kecuali pohon Gharqad kerana ianya pohon Yahudi.
( Hadith riwayat al Bukhari Jil.4 ms.51 dan Muslim no.2922 ).

Demikianlah hadith ini memperincikan kisah pertarungan terakhir antara muslimin dan yahudi. Ia adalah berita qadar yang amat memberansangkan. Cuma bukanlah kita hanya berpeluk tubuh menunggu saat ini. Tentu sekali sikap ini adah kefahaman terburuk bagi maksud hadith ini. Sebaliknya kita diberi ransangan untuk menyertai jihad di Palestin untuk mendapat kelebihan dan kemuliaan yang dijanjikan. Walaupun kita tahu di tangan siapakah panji kemenangan akan tercapai.
Sungguh menarik apabila panggilan "Hai muslim!" dan "Hai Abdullah!" yang menjadi laungan batu dan pepohon. Ini dua sifat umum yang melampaui batas sempadan darah dan keturunan, warganegara dan bahasa pertuturan. Asalkan islam ( menyerah diri dan tunduk kepada Allah ) dan ubudiyyah (memperhambakan diri kepada Allah ), maka mereka bertanggungjawab untuk membebaskan Palestin dan menghapuskan kedurjanaan yahudi. Maka sesiapa sahaja yang berkerja untuk Islam di mana jua, semestinya memberi saham kepada pembebasan Palestin. Sesiapa yang diberi taufiq tuhan untuk memperhambakan diri kepada Allah di mana jua, maka dia sebenarnya terpilih untuk menjadi tentera pembebasan Palestin.

Isnin, 25 Mac 2013

Tanggungjawab Bersama Menangkis Fitnah.



Al Quran meletakkan tanggungjawab menolak berita fitnah di atas bahu setiap anggota masyarakat. Hanya dengan kerjasama semua pihak, fitnah dapat dibenteras dengan jayanya. 

Caranya ialan setiap muslim tidak harus terjebak dan terpalit dengan kerja dosa fitnah ini samada memulakan atau menyebarkan. Bahkan tanggungjawab mereka setiap kali menerima berita fitnah ini untuk mendustainya dan mendedahkan pembohongan itu.

Pedoman ini diturunkan Allah swt untuk membawa muslimin keluar dari kemelut peristiwa pembohongan terbesar kaum munafiqin menuduh isteri Nabi saw, Aishah ra terjebak melakukan zina.

Firman Allah swt :

إِذْ تَلَقَّوْنَهُ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُمْ مَا لَيْسَ لَكُمْ بِهِ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُ هَيِّنًا وَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ عَظِيمٌ ( 15 ) وَلَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ قُلْتُمْ مَا يَكُونُ لَنَا أَنْ نَتَكَلَّمَ بِهَذَا سُبْحَانَكَ هَذَا بُهْتَانٌ عَظِيمٌ ( 16 ) يَعِظُكُمُ اللَّهُ أَنْ تَعُودُوا لِمِثْلِهِ أَبَدًا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ ( 17 )

Bermaksud:

[15] Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.

[16] Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: “Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan”.

[17] Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.

Surah an Nur : 15-17.

Demikianlah betapa tegas dan keras teguran Allah swt terhadap sikap menerima berita tanpa ilmu kemudian bercakap sebelum menerima pencerahan. Angkara dosa yang dianggap kecil di sisi pandang manusia sedangkan itulah jenayah berat dalam neraca Allah. Sebaliknya sikap yang terpuji adalah menjaga harga diri dan bermaruah tinggi untuk mempertuturkan perkataan fitnah. Kemuncak penegasan dari Allah apabila mempertikaikan keimanan mereka yang tidak serik mengulangi kejahatan memfitnah.

Di dalam hadith Nabi saw pula ada menyatakan;

عَنْ أبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : (إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ رِضْوَانِ اللَّهِ لَا يُلْقِي لَهَا بَالًا يَرْفَعُهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَاتٍ ، وَإِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ لَا يُلْقِي لَهَا بَالًا يَهْوِي بِهَا فِي جَهَنَّمَ) رواه البخاري (6487 . (

Bermaksud:

" Sesungguhnya seorang hamba bercakap dengan perkataan yang mendapat perkenan Allah swt. Dia sendiri pun tidaklah memberinya perhatian besar, tiba-tiba Allah swt mengangkat dengannya darjat-darjat yang tinggi. Sebaliknya ada pula hamba yang bercakap dengan perkataan mendapat murka Allah swt. Dia sendiripun tidaklah memberi perhatian besar kepadanya, tiba-tiba Allah mencampak dengan sebabnya ke dalam neraka jahanam.

Hadith riwayat al Bukhari.

Justeru, menelan berita fitnah dan menjadikannya buah mulut adalah langkah tempang pertama yang membawa kepada kesilapan yang tiada noktah hujungnya.

Ahad, 13 Januari 2013

Menyampaikan Ilmu Menurut Tingkatan Pemahaman Manusia.



Berbezanya tingkatan pemahaman seseorang itu adalah suatu hal yang sudah diketahui. Banyak faktor yang mempengaruhinya. Ada yang disebabkan sedikitnya ilmu yang dimilikinya atau juga kondisi persekitaran yang saling berbeza antara satu sama lain. Mungkin juga adat kebiasaan yang sudah berakar umbi dan sukar untuk berubah. Di sana terdapat banyak faktor dalam hal ini.  

Berkata Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya ketika mana mentafsirkan firman AllahTa'ala:
قال الله تعالى: ))فَذَكِّرۡ إِن نَّفَعَتِ ٱلذِّكۡرَىٰ ٩ (((سورة الأعلى: 9)
"Oleh sebab itu berikanlah peringatan jika peringatan itu bermanfaat".

Surah al-A'laa: 9.

Beliau mengatakan:

"Maksudnya berikanlah peringatan jika hal itu bermanfaat bagi orang yang sedang diberi peringatan. Dari sini difahami bahawa adab dalam menyebarkan dan menyampaikan ilmu jangan sampai meletakkan (menyampaikan) kepada orang yang belum ahlinya".[1]

Oleh kerana itu, Nabi Shalallahu 'alaihi wa sallam pernah bersabda:

"Kalau bukan kerana kaummu (wahai Aisyah) yang baru saja meninggalkan kekufuran, nescaya akan aku hancurkan ka'bah lalu aku jadikan dua pintu. Pintu untuk masuk manusia dan pintu untuk keluar".
Di riwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam kitab Ilmu, bab anjuran meninggalkan sebahagian berita ditakuti kurangnya faham pada sebahagian orang. 

(Fath al Bari: 1/223).

Berkata Ibnu Hajar ketika menjelaskan hadith di atas:

"Dalam hadith ini boleh diambil faedah bahawa harusnya meninggalkan kemaslahatan untuk menjaga agar tidak jatuh ke dalam kerosakan. Termasuklah dianjurkan untuk meninggalkan perlakuan mengingkari perkara mungkar kalau dibimbangi terjadi kemungkaran yang lebih besar. 

Maka hendaknya bagi seorang imam (pemimpin) mengatur orang bawahannya dengan melihat perkara yang boleh mendatangkan kemaslahatan bagi mereka walaupun (yang ditinggalkan) itu adalah amalan yang utama selagi belum sampai pada tingkatan haram".[2]

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab Shahihnya, dalam kitab ilmu, bab bolehnya mengkhususkan ilmu kepada seseorang dibimbangkan yang lainnya tidak boleh memahaminya.

Hadith ini diriwayatkan dari Ali bin Abi Thalib ra, beliau mengatakan:

"Berbicaralah kepada manusia dengan perkataan yang mereka fahami. Tinggalkan (berbicara yang boleh) menjadikan mereka mengingkari. Apakah kamu suka Allah dan RasulNya didustakan?.

HR Bukhari.

Adapun Imam Muslim meriwayatkan dari Ibnu Mas'ud, beliau mengatakan:

"Janganlah kamu berkata kepada sekelompok orang dengan perkataan yang tidak sampai di akal-akal mereka . Nantinya akan menjadikan fitnah di antara mereka".

HR Muslim di dalam muqadimah Shahihnya. Bab larangan membicarakan semua yang telah di dengarnya 1/11.

Berkata Ibnu Hajar:

" Di antara ulama yang tidak suka menceritakan hadith dan menyembunyikannya adalah Imam Ahmad di dalam hadith-hadith yang pada zahirnya mengajak untuk keluar dari pemerintah. Imam Malik pula membenci dalam masalah hadith-hadith sifat-sifat Allah Ta'ala. 

Abu Yusuf membenci dalam hadith yang aneh-aneh. Batasan dalam masalah ini adalah kalau sekiranya zahir hadith tersebut menguatkan perbuatan bid'ah, atau pada intinya secara zahir bukan yang dimaksud. Maka menahan untuk tidak menceritakan kepada orang yang disangka akan mengambil hadith itu secara zahirnya sahaja, maka itu dianjurkan. Allah 'alam".[3]

Oleh kerana itu hendaknya bagi seorang da'i memperhatikan hal itu dan tidak cuba untuk menyelisihinya apalagi kalau bersama dengan orang-orang awam atau orang yang kurang boleh memahami perkataan orang lain.

Imam Syathibi mengkategorikan dalam kitab beliau al-Ithishom hal seperti ini termasuk melampaui batas dan boleh masuk dalam masalah melakukan kebid'ahan.

Beliau mengatakan:

" Di antara (contoh) hal tersebut adalah berbicara bersama orang awam yang dia tidak faham dan tidak boleh mencerna makna pembicaraan tersebut. Maka sesungguhnya ini termasuk pada kelompok orang yang meletakkan hikmah (ilmu) namun bukan pada tempatnya. 

Orang yang mendengarnya ada kemungkinan faham tapi bukan pada maksudnya. Maka itu adalah fitnah yang akan membawan kepada perkara mendustakan kebenaran dan mengamalkan kebatilan. Kemungkinan juga dia tidak faham sedikitpun maka kalau yang ini lebih selamat (dari yang pertama) ".[4]

Apa yang lebih jelas dari itu adalah apa yang disebut beliau dalam kitab al-Muwafaqot di mana beliau memberi misal dengan contoh mengingkarinya sahabat akan hal tersebut, beliau mengatakan:

"Dan di antara (contoh) hal tersebut adalah pertanyaan orang awam terhadap alasan sebuah hukum dalam masalah fiqh dan hukum-hukum syari'at lainya. Jika memang hukum tersebut mempunyai alasan yang benar dan hukum yang lurus.

Oleh kerana itu Aisyah mengingkari pada orang yang bertanya: "Kenapa orang yang haid itu diperintahkan untuk mengqadha puasa namun tidak diperintah untuk mengqadha solat? Maka beliau bertanya kembali kepadanya: "Apakah kamu termasuk Haruriyah (khawarij.)?  

Begitulah juga Umar bin Khatab yang pernah memukul seseorang yang banyak bertanya tentang sesuatu yang syubhat dalam masalah ilmu al-Qur'an yang tidak ada kaitanya untuk dikerjakan. Ini kerana adakalanya akan menjadi persangkaan dan fitnah baginya walaupun itu benar".[5]


[1] . Tafsir Ibnu Kathir 4/500.
[2] . Fathul Bari Ibnu Hajar 1/225.
[3] . Fathul Bari 1/225.
[4] . al-'Ithisham 2/13.
[5] . Al-Muwafaqat 4/191.