Khamis, 29 Oktober 2009

Menyelami Semangat Haji-Satu pendahuluan


Usaha memahami dan menyelami hakikat dan semangat haji yang sebenar amatlah penting. Ini kerana perjalanan melaksanakan ibadah Haji tidak boleh disamakan dengan perjalanan biasa. Ia adalah suatu perjalanan yang penuh berkat, bernaung di bawah teduhan rahmat dan inayat dan sentiasa merasai tempias suasana munajat dan persekitaran ibadat. Perjalanan haji adalah perjalanan menuju ke bumi Mekah kiblat kaum Muslimin, mengunjungi rumah Allah yang suci ( Baitillah al Haram ) di al Masjid al Haram, mengelilingi Kaabah yang menjadi lambang hampirnya seorang hamba kepada Allah swt dan melawat tempat-tempat keagungan Allah di sekitar Mekah. Ringkasnya ia adalah perjalanan menuju kepada Allah swt, menerima jemputanNya dan bertandang sebagai tetamuNya.

Ianya bertolak dari asal tujuan yang menggerakkan perjalanan yang menelan belanja harta benda, mengorbankan kudrat tenaga dan menggasak ketahanan jiwa ini. Asal tujuannya ialah lantaran ibadat dan taat menyahut seruan Allah swt sebagai pembuktian kepada berimannya hati dan Islamnya anggota. Ia adalah lonjakan yang terpancar dari hati sanubari yang sarat berisikan keikhlasan dan ketauhidan.

Justeru, Perjalanan haji dan pengisian yang berlaku di dalamnya semestinya memiliki sudut kelainan dan ciri keistimewaannya yang tersendiri; Penuh dengan perasaan ketundukan dan kerendahan hati kepada Allah swt yang diabdikan diri. Penuh dengan adab dan kesopanan budi sesama hamba Allah yang diikat dengan kesatuan akidah dan persaudaran Islam yang melampau batasan kepentingan duniawi.

Haji adalah suatu proses pemulihan dan pengupayaan menurut nizam rabbani yang sangat besar pulangan keuntungannya kepada keperibadian individu dan ummah sejagat. Syariat Haji yang teratur sedemikian rupa benar-benar memberi kesan kepada kesejahteraan kitaran kehidupan umat manusia di dunia yang akhirnya menjadi menjadi bekalan yang sungguh berguna di alam baqa’.

Inilah suatu perjalanan yang telah lama diatur Allah swt. Sejak perintah Allah swt kepada Nabi Ibrahim as supaya melaungkan suatu panggilan kepada seluruh umat manusia supaya datang menziarahi Baitillah yang siap dibinanya.

Ibnu Kathir menyebut bagaimana setelah Nabi Ibrahim as menyiapkan binaan Kaabah, Allah perintahkan supaya baginda melaungkan panggilan Haji. Baginda berkata : Bagaimana aku ingin sampaikan panggilan ini kepada semua manusia sedangkan suara aku tidak mungkin menembusi mereka semua? Allah berfirman : Serulah, aku bertanggungjawab menyampaikannya.

Lalu baginda berdiri di atas Maqam ( tempat baginda berdiri semasa menaikkan batu-batu kaabah ), ada pendapat di atas Hijir Ismail, ada pendapat di atas bukit Sofa dan ada pula menyebut di atas Bukit Abu Qubais. Baginda melaungkan : “ Wahai umat manusia ! Seseungguhnya tuhan kamu telah memilih rumahnya ( baitillah ) maka datanglah menziarahinya ( haji ). Dikatakan bahawa bukit-bukau menjadi tunduk sehingga sampai seruannya ke seluruh pelusuk bumi dan boleh didengari oleh sekelian manusia termasuk yang masih di alam rahim dan sulbi.

Inilah yang menjadi jawaban dari setiap insan yang dicatatkan Allah untuk hadir melaksana haji untuk melaungkan : LabbaikaLlahumma Labbaik ( Ya wahai tuhanku, aku menyahut panggilan ).

Kisah asal usul haji yang dirumuskan oleh Ibnu Kathir dalam tafsirnya adalah dari himpunan riwayat dari Ibnu Abbas, Mujahid, Ikrimah, Said ibn Jubair dan lainnya yang tercatat secara terperinci dalam tafsir Ibn Jarir al Thabari dan Ibn Abi Hatim. WaLLahu a’lam.

Ayat-ayat Allah swt dalam surah al Hajj di bawah ini amat patut menjadi renungan kita bersama untuk membawa ingatan kita sejenak kepada sejarah asal ibadat haji ini.

Firman Allah ;

وَإِذْ بَوَّأْنَا لِإِبْرَاهِيمَ مَكَانَ الْبَيْتِ أَنْ لَا تُشْرِكْ بِي شَيْئًا وَطَهِّرْ بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْقَائِمِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ ﴿26 وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ ﴿27 لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۖ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ ﴿28 ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ ﴿29 ذَٰلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ حُرُمَاتِ اللَّهِ فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ عِنْدَ رَبِّهِ ۗ وَأُحِلَّتْ لَكُمُ الْأَنْعَامُ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ ۖ فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ﴿30 حُنَفَاءَ لِلَّهِ غَيْرَ مُشْرِكِينَ بِهِ ۚ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَكَأَنَّمَا خَرَّ مِنَ السَّمَاءِ فَتَخْطَفُهُ الطَّيْرُ أَوْ تَهْوِي بِهِ الرِّيحُ فِي مَكَانٍ سَحِيقٍ ﴿31 ذَٰلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ﴿32﴾

Bermaksud :

“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): "Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).[27]

"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.[28]

"Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. [29]

"Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu". [30]

Itulah yang wajib dipatuhi; dan sesiapa yang menghormati hukum-hukum Allah maka yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya. Dan dihalalkan bagi kamu binatang-binatang ternak, kecuali yang dibacakan kepada kamu (tentang haramnya), maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta. [31]

(Amalkanlah perkara-perkara itu) dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun denganNya; dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan). [32]

Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar ugama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin. [33]

Di atas semangat inilah kita mengunjungi bumi Mekah dan menziarahi Baitillah melaksanakan haji. Semoga Allah menganugerahkan ketaqwaan di dalam diri, keikhlasan dan kerendahan hati di dalam setiap gerak geri, dan menerima segala amalan dan pengorbanan harta benda dan tenaga sepanjang menyempurnakan rukun Islam ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan